Saman AES: Ronnie Arahkan MPKj Jadi Saksi

SHAH ALAM 15 NOV: Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu akan mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjadi saksi terhadap pengguna jalanraya yang disaman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Katanya, beliau akan mengarahkan MPKj untuk menghantar pegawainya menjadi saksi di mahkamah bagi mengesahkan pemasangan kamera itu tidak sah.

Ronnie berkata, pemasangan kamera AES di dua kawasan di Kajang adalah tidak sah kerana kontraktor yang dilantik Kerajaan Pusat tidak mendapat Kebenaran Merancang (KM) daripada MPKj.

“Pemasangan AES di Kajang adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan sebarang pemasangan perlu mendapat KM daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tanpa KM, walaupun kamu pemilik tanah, kamu tidak boleh buat begitu dan ianya dianggap salah,” katanya kepada pemberita di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) semalam.

Ronnie menjelaskan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha seharusnya faham mengenai akta itu kerana sebarang pemasangan perlu mendapatkan kelulusan.

“Mesti ada kelulusan baru boleh buat, Dia Menteri (Cho Ha) (Chee Heung) mesti ikut undang-undang juga,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan bagi menanggalkan semula kamera tersebut dalam tempoh 14 hari bermula Isnin lalu.

Ronnie berkata, jika amaran tersebut tidak diendahkan, Kerajaan Negeri akan meminta MPKj menanggalkan kamera tersebut.

“Kalau tak roboh, kita akan minta MPKj buat surat untuk roboh dalam tempoh 14 hari dan dalam tempoh itu jika tidak dirobohkan, kita akan robohkan, kita patuhi undang-undang,” katanya yang juga Adun Pandamaran.

Sebelum ini, dua kamera AES tersebut di Kajang dipasang di kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan di kilometer 301.6 menuju ke utara di Lebuhraya Utara-Selatan.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini