MB Saksi PKNS Meterai CIP

SHAH ALAM 14 NOV : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini muncul sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pertama di Malaysia dengan menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sebagai usaha membanteras gejala rasuah dalam bidang perniagaan.

CIP adalah dokumen yang membenarkan sesebuah organisasi untuk membuat komitmen bagi mendukung prinsip pencegahan rasuah dalam mewujudkan urusniaga yang adil, telus dan bebas rasuah.

Ikrar berkenaan ditandatangani Pengurus Besar PKNS, Othman Omar sambil disaksikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata pemeteraian itu sekaligus dapat mengukuhkan akauntabiliti dan tadbir urusnya selain komited mewujudkan organisasi yang telus dan terhindar daripada gejala rasuah.

“Saya percaya dengan adanya sistem ini ia dapat dipercayai, dengan cara kerja yang amanah dan berintegriti, pelanggan akan percaya dan kepercayaan itu akan memberi peluang kepada PKNS untuk memajukan lebih banyak pembangunan.

“Ia merupakan kesediaan pekerja untuk berkhidmat dengan daya pengeluaran yang tinggi serta menurut arahan dan peraturan malah menyimpan segala rahsia syarikat atau majikan,” katanya.

Sejajar dengan pemeteraian itu, Abdul Khalid turut melancarkan Polisi Pemberi Maklumat PKNS atau ‘whistle-blowing policing’ yang merupakan saluran untuk menerima aduan dan memberi peluang kepada orang awam atau kakitangan PKNS untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan di dalam perlaksanaan aktiviti atau pelanggaran tatatertib.

Turut dilantik Pengerusi Jawatankuasa Audit Integriti, Datuk Mohd Salleh Mahmud sebagai Pengerusi Jawatankuasa ‘Whistle-Blowing’ Pemberi Maklumat.

Sebelum ini, PKNS sudah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkukuhkan struktur pengurusan.

Antaranya menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti (JKTI), penubuhan Bahagian Perolehan, penubuhan Bahagian Pengurusan Organisasi dan Integriti, pelantikan Pegawai Integriti Bertauliah dan mengeluarkan Pekeliling Polisi tidak menerima hadiah dan hospitaliti atau ‘No Gift Policy’.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 130 syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), persendirian dan badan berkanun di seluruh negara sudah menandatangani CIP terbabit.

Pendapat Anda

Pendapat

About Norhayati Umor