Kerajaan Negeri Teliti Kelulusan Projek Kondo Batu Caves Sebelum Ambil Keputusan

SHAH ALAM 14 NOV : Keputusan mengenai status projek kondominium di hadapan Batu Caves akan diambil dengan teliti untuk mengelak sebarang kesan negatif kepada rakyat dan Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendekatan ini berbeza dengan Kerajaan Pusat Umno-BN sekarang yang berjanji akan membatalkan projek ini walaupun ia diluluskan pentadbiran Umno-BN Selangor dahulu.

Katanya, setiap pembatalan projek harus dilakukan secara profesional, telus dan bertanggungjawab dan mengikut prosedur supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada negeri.

Difahamkan sekiranya projek tersebut dibatalkan dengan tidak mengikut prosedur, Kerajaan Negeri mungkin terpaksa membayar pampasan kepada pemaju projek itu yang bernama Dolomite Park Avenue.

“Kami komited memperbetulkan semula kecuaian dan kesilapan yang telah dilakukan pentadbiran Umno-BN sebelum ini.

“Tetapi perlu dilakukan mengikut tatakelola yang betul dan selaras dengan dasar pentadbiran negeri yang adil dan telus,” katanya di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Baru-baru ini, akhbar bahasa Inggeris The Sun mendedahkan bahawa projek kondo 29 tingkat itu telah diluluskan pembangunannya oleh Majlis Perbandaran Selayang semasa pentadbiran Umno-BN pada 2007.

Pada bulan lalu, masyarakat Hindu mengadakan demonstrasi di kompleks kuil Batu Caves dan mendesak agar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membatalkan projek itu.

Di sambutan Deepavali di Batu Caves semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Umno-BN akan batal projek tersebut sekiranya gagasan itu kembali mentadbir Selangor.

Dalam membidas Najib, Abdul Khalid berkata presiden Umno itu tidak profesional dan bertujuan meraih populariti murahan.

“Tindakan Najib itu bakal memberi kesan negatif kepada integriti dan pentadbiran yang baik kerana sebarang pembatalan projek perlu dilakukan mengikut prosedur,” katanya lagi.

Serentak itu, Abdul Khalid turut mengumumkan perlantikan Datuk N Sadasivan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas bagi mengkaji kelulusan projek tersebut.

Abdul Khalid berkata, Sadasivan, yang merupakan bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan dibantu golongan profesional dan bebas di dalam jawatankuasa tersebut.

“Antara skop jawatankuasa ini adalah untuk mengkaji semula semua projek pembangunan yang telah dibuat dan dirancang di Batu Caves dengan mengambil kira beberapa aspek seperti kebajikan rakyat, kepentingan masyarakat Hindu dan undang-undang,” ujarnya lagi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini