MPSJ Serbu Rumah Perlindungan Anjing Haram

SHAH ALAM 14 NOV : Sebuah rumah di Taman Bukit Serdang yang digunakan sebagai premis pelindung haiwan haram diserbu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), baru-baru ini.

MPSJ mengambil tindakan tersebut setelah menerima berbagai aduan dari jiran-jiran tentang bunyi bising dan isu kebersihan premis itu yang dipercayai digunakan oleh sekumpulan badan pencinta haiwan.

Dalam satu kenyataan, MPSJ memaklumkan bahawa ia sudah mengeluarkan beberapa notis dan enam kompaun terhadap pemilik dan penghuni rumah terbabit tetapi tindakan itu tidak diendahkan.

Dalam serbuan itu, pemilik premis bertindak agresif dengan menyembur air terhadap penguatkuasa MPSJ.

Walau bagaimanapun, penghuni tersebut akur apabila pihak MPSJ dan polis berkata akan mengambil tindakan yang lebih keras sekiranya mereka terus menghalang penguatkuasa.

Hasil serbuan itu, 18 ekor anjing telah dipindahkan ke Pusat Kurungan Haiwan MPSJ yang terletak di Taman Perindustrian Puchong Utama.

Pemilik rumah itu turut dikenakan satu lagi kompaun.

“Penghuni premis tersebut boleh didakwa atas kesalahan menghalang, menganggu dan menyerang penjawat awam yang melaksanakan tugas di bawah Seksyen 112, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Sabit kesalahan penghuni tersebut boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 2000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, MPSJ menasihati semua pemelihara anjing supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing 2007 serta syarat lesen pemeliharaan.

Pendapat Anda

Pendapat

Tags:

About Norhayati Umor