400 Wanita Meriahkan Program Memasak Sepetang Bersama Abby Abadi

SUNGAI BESAR,13 NOV : Kira-kira seramai 400 orang wanita di sekitar Parit Lapan Gambut Sungai Panjang berpeluang belajar memasak Nasi Goreng Jepun, Kek Coklat Kukus Berpisang dan Daging Kari Hijau Ala Thai daripada Chef yang didatangkan khas daripada Shah Alam Convention Center (SACC).

Tunjuk ajar ini diperolehi Chef Zulkifli dan Chef Jamili dalam Program Sepetang Bersama Abby Abadi yang diadakan di Dataran Desa Permai di sini.

Program ini dirasmikan Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Beliau dalam ucapannya berkata, wanita perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan bergiat aktif dalam program-program kemasyarakatan.

Ujarnya, di bawah Kerajaan Negeri banyak program disediakan untuk golongan wanita melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang boleh dimanfaatkan.

“Program wanita kini ditonjolkan dengan Geran Selangorku yang memperuntukkan kira-kira RM30 juta untuk golongan wanita.

“Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang prihatin dan kita tidak mahu rakyat di negeri ini menderita, ” kata Salbiah.

Di samping itu, jelas Salbiah di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), program laman dapur makin mendapat perhatian golongan wanita melalui geran khas untuk projek pertanian.

“Kini di bawah program laman dapur kita ada projek pertanian alam iaitu konsep menanam sayur di dalam beg poli dan Kerajaan Negeri membiayainya dengan peserta menerima percuma 250 beg poli dengan tanah kompos dan sistem saliran yang berjumlah RM2,700 sekali sahaja,” katanya.

Ujarnya program itu kini sedang di perluaskan di setiap DUN dari masa ke semasa yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada golongan surirumah.

Dalam program itu, masyarakat berpeluang beramah mesra dengan Puan Sri Salbiah bersama-sama Abby dalam program yang berbentuk santai.

Abby dalam sesi ramah mesra menceritakan kisahnya bagaimana beliau berhijrah daripada dunia lakonan dan menceburi perjuangan dakwah di negara ini.

“Jadi saya dapat sesuatu yang tidak ada dalam diri saya itu semasa menunaikan ibadah umrah dan bersyukur kini di mana kita berada di akhir zaman yang ramai menolak alim ulama dan kerja-kerja kebaikan tetapi Allah dekatkan saya dengan-Nya,” ujarnya.

Turut bersama dalam program itu Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Zailani Kadir, Penyelaras Pusat Khidmat DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin dan bekas pensyarah Undang-Undang UIA, Dr Aziz Bari.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut