Najib Ulangi Tawaran ‘Sibu’ Terhadap Isu Kondo Batu Caves

SHAH ALAM 14 NOV : Datuk Seri Najib Razak dilihat sekali lagi mengulangi tawaran ‘Sibu’ apabila menyatakan akan membatalkan pembinaan projek kondo 29 tingkat di Batu Caves jika rakyat memilih Umno-BN dalam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Exco Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, Perdana Menter tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian kerana jika projek itu tidak boleh diteruskan maka ia harus dibatalkan tanpa perlu membuat sebarang tawaran.

Katanya, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sudah siap sedia membatalkan projek itu pada bila-bila masa selepas kajian dan siasatan dilaksanakan.

“Najib tidak boleh ada sikap ‘You Help Me, I Help U’ dan membuat satu ‘deal’ dengan rakyat, ini tidak boleh.

“Kalau projek itu tidak betul, menang ke kalah ke perlu batalkan,” katanya kepada TVSelangor.

Katanya, jika Najib serius hendak membatalkan projek itu, beliau perlu menyatakan jika projek itu dibatalkan maka pampasan akan diberikan Kerajaan Umno-BN terhadap pihak yang terlibat.

“Kalau dia (Najib) serius, dia patut kata kerana projek ini diluluskan pada zaman Kerajaan Umno-BN dahulu, kalau ada pampasan terpaksa diberikan dan mereka akan membayarnya.

“Kalau Najib cakap macam itu, okeylah,” katanya yang juga Adun Pandamaran.

Ronnie diminta mengulas mengenai pengumuman Najib ketika berucap di majlis rumah terbuka Deepavali di perkarangan Kompleks Batu Caves anjuran MIC semalam.

Ketika Pilihan Raya Kecil Sibu pada 2010 lalu, Najib membuat tawaran kepada pengundi di kawasan itu dengan menawarkan sebanyak RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu jika memenangi pilihan raya berkenaan dan akhirnya dimenangi oleh PR.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini