Anwar: Sokongan Masyarakat India Terhadap PR Meningkat

PETALING JAYA 13 NOV: Dasar yang diperkenalkan negeri Pakatan Rakyat (PR) khususnya di Selangor dilihat berjaya meningkatkan sokongan kaum India terhadap gabungan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Demikian menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai sokongan kaum India terhadap PR di ibu pejabat PKR di sini.

Katanya, sambutan yang diterima masyarakat India terhadap program dan skim yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor sebagai contoh berjaya menarik perhatian mereka yang sebelum ini seringkali diabaikan ketika pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Umno-BN dahulu.

“Selangor di bawah pimpinan PR berusaha menjaga masyarakat India di negeri ini dengan menyediakan pelbagai program bantuan termasuk memberikan bantuan pendidikan sebanyak RM4 juta disemua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“PR juga berusaha memdapatkan kad pengenalan terhadap beberapa individu daripada kaum India yang tinggal di pedalaman selama berpuluh tahun tetapi masih tidak diberikan kewarganegaraan,” katanya yang merupakan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Sebelum ini, Anwar menjanjikan bahawa PR tidak akan mengabaikan semua kaum termasuk India jika berjaya mentadbir Kerajaan Pusat selepas PRU akan datang.

Anwar mengumumkan perkara itu sempena lawatannya ke Pesta Deepavali anjuran Kerajaan Negeri di Jalan Kelana, Klang yang juga dikenali sebagai ‘Little India’ pada Sabtu lepas.

Katanya, kaum India yang sebelum ini didakwa diabaikan Kerajaan Umno-BN sejak 50 tahun dahulu akan diberi perhatian sama-rata termasuk kaum-kaum lain yang menjadi penduduk di negara ini.

“Saya sudah tidak mahu lagu gaduh-gaduh soal kaum, kita akan jaga semua kaum dan rakyat di negara ini,” katanya ketika memberi ucapan di pesta itu.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini