Tuduhan ‘Creative Accounting’ Di Selangor Tidak Berasas

SHAH ALAM, 31 OKT : Tuduhan bahawa Kerajaan Selangor mengamalkan “creative accounting” adalah melampau dan tidak berasas kerana kesahihannya telah diperakui oleh Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor disediakan mengikut Piawaian Perakaunan Kerajaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Menurutnya, ia selaras dengan piawaian perakaunan berasaskan “International Public Sector Accounting Standards – Financial Reporting Under Cash Basis Accounting”.

Malah, Laporan Ketua Audit Negara 2011 sebelum ini menyatakan Penyata Kewangan Kerajaan Selangor pada keseluruhannya menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2011.

Laporan tersebut juga mengatakan rekod perakaunan Kerajaan Selangor telah diselenggarakan dengan teratur dan dikemas kini.

“Kerajaan Negeri mengambil berat tuduhan bahawa Negeri Selangor mengamalkan “creative accounting” atau mengubah suai akaun kedudukan kewangan negeri yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

“Tuduhan yang dibuat oleh Kelab Penyokong Barisan Nasional adalah tidak bertanggungjawab dan tidak benar sama sekali.

“Ia juga memperkecilkan keupayaan Ketua Audit Negara dan kakitangan awam yang bekerja keras menyediakan laporan dengan penuh tertib dan profesional.

“Walaupun terdapat isu yang boleh dilaporkan dengan baik terutama isu Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan Universiti Selangor (Unisel), Kerajaan Negeri berpendapat keseluruhan laporan tersebut tidak patut dipersoalkan.”

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini.

Selain itu, katanya, Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri (SPEKS) yang digunapakai bagi mengakaunkan semua urusniaga bayaran dan terimaan adalah sistem perakaunan bersepadu yang dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa mengingatkan kakitangan awam supaya mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan tugas serta berjimat cermat meluluskan perbelanjaan.

“Ini antara faktor yang menjadikan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri diklasfikasikan sebagai “baik” oleh Jabatan Audit Negara dengan peningkatan dari segi wang simpanan, hasil, pelaburan dan pengurusan kewangan.

“Kerajaan Negeri berharap tuduhan palsu ini tidak menjejaskan komitmen kakitangan awam untuk membantu menguruskan pentadiran negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera