PKNS : PREC Martabatkan Usahawan Melayu Dan Bumiputera

SHAH ALAM 31 OKT: Peniaga dan usahawan yang menyewa ruang niaga di bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini bakal menikmati ruang niaga dan kemudahan awam yang lebih baik.

Perkembangan ini setelah lima bangunan milik PKNS akan dipindahmilik kepada anak syarikatnya iaitu Private Real Estate Company (PREC) bagi meningkatkan pengurusan aset tersebut.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata penambahbaikan tersebut selari dengan matlamat asal penubuhan PKNS iaitu meningkatkan taraf kehidupan Bumiputera.

Beliau berkata PREC sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di dalam ke lima-lima bangunan tersebut sejak Oktober 2011. Ini termasuk memperbaiki tandas, eskalator, lif, papan tanda dan kerja-kerja tersebut dijangka siap pada Mac 2013.

PREC turut bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS untuk menambah tapak niaga di bangunan-bangunan untuk usahawan Melayu dan Bumiputera.

Sementara itu, program promosi secara usahasama bersama usahawan muda Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti flea market akan diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Sebagai contoh PREC memperuntukkan sebanyak RM 10 juta bagi kos penyelenggaraan dan penambahbaikan Kompleks PKNS Shah Alam.

“Ini termasuklah menukar kemasan dalam dan luar bangunan bagi memberikan imej yang lebih menarik.

“Kiosk-kiosk perniagaan baru juga akan turut diwujudkan untuk disewakan khusus kepada peniaga Melayu Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Diumumkan sebelum ini bahawa PKNS akan memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada PREC bagi menguruskan aset-aset miliknya iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Wisma Yakin Kuala Lumpur dan Menara PKNS Petaling Jaya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini