Loji Rawatan Air Bukit Jelutong Perintis Teknologi Membran

 

SHAH ALAM, 31 OKT : Kerajaan Negeri Selangor merancang menjadikan loji rawatan air di Bukit Jelutong,Shah Alam yang ditutup pada 1995 sebagai projek perintis penggunaan teknologi penapisan membran.

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia dilaksanakan bagi menambah keupayaan menghasilkan air terawat sebanyak 50 hingga100 juta liter sehari (mld) dan mampu membekalkan lebih daripada separuh keperluan permintaan air tambahan di Shah Alam.

“Saya bersama pegawai-pegawai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Negeri Selangor melakukan lawatan ke loji tersebut yang terletak di Bukit Jelutung Shah Alam,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Turut serta ialah pegawai-pegawai dari Konsortium Abbas dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta wakil-wakil dari syarikat konsultan.

Beliau berkata, loji air tersebut dibina sekitar tahun 1963 dan ditutup awal 1995 ekoran sumber airnya di Sungai Damansara tercemar di tahap empat.

Katanya, aset tersebut adalah milik Kerajaan Negeri Selangor dan merancang membukanya semula selepas kerja-kerja baik pulih dan naik taraf insfrastruktur loji dalam tempoh 6 bulan.

“Anggaran kos tersebut sekitar RM50 juta hingga RM80 juta dengan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos tersebut.

“Kerajaan Negeri mengarahkan syarikat konsultan untuk menyiapkan laporan dalam masa dua bulan bagi diteliti dan diberikan penilaian oleh seksyen Makro dan Penswastaan, Unit Perancang Ekonomi Selangor,” kata beliau.

Beliau berkata, ini merupakan antara daya usaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan sumber air alternatif serta teknoloji yang belum diterokai dalam usaha membekalkan air terawat yang mencukupi kepada rakyat Selangor.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut