Haniza : Demonstrasi Air Taman Medan Dusta Semata-mata

SHAH ALAM, 11 OKT : Kesemua penghuni flat Taman Medan Cahaya PJ2, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya telah menikmati skim air percuma Kerajaan Selangor sejak akhir tahun lepas.

Oleh itu dakwaan sebuah NGO di dalam sebuah akhbar pada 8 Okt bahawa 3,000 penduduk di flet tersebut tidak menerima skim air percuma adalah dusta dan berbaur politik, kata Adun Taman Medan Haniza Talha.

Menurutnya, rebat air juga telah diperoleh apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Orang-orang yang buat tuntutan itu semuanya penduduk yang telah menerima air percuma.

Penduduk yang duduk di flat yang mengatakan mewakili 3,000 orang sebenarnya hanya ada lebih 1,000 orang dan semua mereka dari blok dari A hingga H sudah menerima potongan rebat air daripada SPNB.

“Tuntutan mereka itu hanya berbaur politik kerana ia jelas mereka sudah mendapat perkhidmatan itu tetapi mendakwa kononnya tidak dapat,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor mengulas laporan media mengenai demonstrasi sebahagian penduduk di flat itu Ahad lalu yang mendakwa tidak mendapat air percuma 20 metre padu.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat dalam demonstrasi itu telah digunakan demi kepentingan politik Umno-BN.

“Saya mempunyai dokumen daripada Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang mengatakan mereka sudah mendapat rebat itu dari Julai lepas atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib