MBPJ Ambil Tindakan Terhadap Restoran Gagal Patuhi Peraturan

KOTA DAMANSARA, 4 OKT: Akibat membina struktur binaan tambahan yang tidak dibenarkan, sebanyak tujuh buah restoran menerima padah apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) merobohkan binaan tersebut pagi ini.

Tindakan itu diambil selepas MBPJ mengeluarkan notis amaran yang dikeluarkan sejak bulan Julai lepas bagi memastikan peraturan di bawah Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan tidak dipandang remeh.

Pegawai Unit Perkhidmatan Awam dan Korporat MBPJ, Zey Iskandar Abdul Jalil berkata, pemilik restoran itu didapati membina bumbung ‘awning’ serta sinki tambahan dibelakang kedai yang menyalahi peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan pemilik restoran ini menambah binaan seperti memasang ‘awning’ dan sinki tambahan ini menyebabkan jalan menjadi rosak dan longkang menjadi tersumbat dengan minyak dan sampah serta ia memburukkan persekitaran kawasan ini.

“Sebelum ini kita sudah memberikan amaran dengan memberikan notis merobohkan binaan serta merta pada 19 September lalu namun mereka engkar dan pagi ini kita ambil tindakan merobohkannya,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Seramai 140 anggota terlibat dalam operasi ini yang melibatkan Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Bangunan dan Binaan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Korporat.

 

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini