Hakim Tiada Panduan Jelas, Perlu Jawatankuasa Hukuman Rogol Bawah Umur

SHAH ALAM, 30 SEPT: Hakim di negara ini tidak mempunyai satu garis panduan yang jelas dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah yang melibatkan kes rogol gadis di bawah umur.

Oleh itu, satu jawatankuasa menjatuhkan hukuman perlu ditubuhkan bagi memastikan hukuman yang setimpal dan konsisten dapat dikenakan kepada pesalah kes rogol gadis di bawah umur.

Demikian menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui TV Selangor di lobi Parlimen baru-baru ini.

Izzah mengulas penghakiman luar jangkauan terhadap kes membabitkan pemain bowling kebangsaan dan seorang juru elektrik sebelum ini.

“Ini menunjukkan perlunya satu garis panduan yang lebih konsisten supaya pemangsa itu takut melakukan apa sahaja hubungan dengan gadis bawah umur atau kalau di Malaysia gadis di bawah 16 tahun,” ujar beliau.

Menurut Izzah yang mengambil contoh perlaksanaan di United Kingdom, sebuah jawatankuasa bagi memutuskan hukuman kepada pesalah kes rogol bawah umur perlu ditubuhkan dengan melibatkan Ahli Parlimen, ahli politik, ahli akademik dan hakim-hakim.

“Ini wajib dilaksanakan supaya kita tidak bertolenrasi dengan mana-mana perbuatan jahat yang memangsakan anak-anak di Malaysia,” kata beliau lagi.

Sebelum ini masyarakat negara ini dikejutkan dengan keputusan mahkamah membebaskan dengan ikat jamin RM25,000 terhadap pemain bowling negara, Noor Afizal Azizan setelah beliau mengaku bersalah merogol gadis bawah umur.

Manakala dalam kes berasingan yang turut mencetuskan polemik, juru elektrik, Chuah Guan Jiu, 22 tahun, juga dibenarkan diikat jamin RM25,000 setelah didapati bersalah merogol kanak-kanak bawah umur di Pulau Pinang tahun lalu.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim