Tuan Ibrahim : MB Pahang Perlu Selesai Dahulu Masalah Air Sendiri

SHAH ALAM 25 SEPT : Kerajaan Negeri Pahang perlu menyelesaikan dahulu masalah kekurangan air di negeri itu dahulu sebelum sibuk mahu membekalkan bekalan air ke Selangor.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man beberapa daerah di Pahang sendiri menghadapi masalah air yang serius dan menjejaskan kehidupan rakyat di negeri itu.

Dihubungi TV Selangor Tuan Ibrahim berkata  Kerajaan Pahang perlu mengambil serius masalah ini dan menyelesaikannya demi kebaikan rakyat negeri itu sendiri.

“Masalah air di Pahang memang serius. Banyak tempat dan kawasan yang tidak mendapat bekalan air termasuk kawasan Felda dan sebagainya. Jadi kita kata bahawa projek (Langat 2) ini sebenarnya projek sekadar untuk bagi kepada kroni sahaja.

“Kalau soal kebajikan air, saya fikir di Pahang ini isu air adalah serius contohnya di kawasan Bandar Pusat Jengka, ada kawasan dipanggil Matau sampai ke hari ini bekalan air bersih tidak disalurkan. Jadi betul apa yang disebut bahawa Pahang ini nak jual air ke Selangor sedangkan isu dalam negeri pun belum selesai,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyokong sekiranya Kerajaan Pahang berhasrat membatalkan perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah ke Selangor sekiranya projek Loji Air Langat 2 tidak diteruskan.

Pembatalan projek itu perlu dengan syarat peneroka Felda di kawasan Lembah Kelau diberikan kembali hak tanah mereka serta bayaran wang deposit diterima mereka tidak dikembalikan.

Disebabkan Projek Langat 2 ini, sebahagian peneroka Lembah Kelau kehilangan tanah yang diusahakan dengan tanaman sawit sebagai sumber pendapatan. Kini penduduk terlibat hanya  bergantung kepada bayaran pampasan yang diterima.

“Kita setuju pembatalan bagi projek (perjanjian penyaluran air) ini dan Selangor sendiripun mempunyai sumber air lain seperti air bawah tanah dan sebagainya yang belum diteroka sepenuhnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, PAS sesungguhnya tidak bersetuju pada peringkat awal lagi dengan Projek Loji Langat 2 itu kerana ia melibatkan pengambilan tanah rezab Melayu iaitu tanah kawasan Felda di Lembah Kelau.

Projek berkenaan juga  melibatkan isu alam sekitar apabila berlaku penebangan balak dalam jumlah yang besar.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib