Naik Elaun Guru KAFA Bukti Keikhlasan MB Jadikan Selangor Negeri Baik

SHAH ALAM 24 SEPT: Langkah Kerajaan Negeri menaikan elaun guru agama dianggap langkah tepat bagi mencapai cita-cita Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang mendapat kebaikan dan keampunan Allah SWT.

Langkah menaikan elaun guru Kafa itu dianggap mampu memberi kesan terhadap pembentukan sasiah, akhlak dan peribadi para pelajar sekaligus mengelak dari terjebak ke kancah gejala sosial yang tidak sihat.

Demikian menurut Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin dalam satu wawancara eksklusif dengan TV Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah baru-baru ini.

“Sumbangan guru agama Kafa dalam pembangunan jiwa sangat penting, tetapi mereka menerima imbuhan yang sangat sedikit sebelum ini, tetapi usaha dari Kerajaan Negeri yang diumumkan sendiri oleh YAB Menteri Besar untuk menaikan kadar elaun memberikan semangat baru kepada guru-guru agama ini,” kata beliau.

Ahmad juga berpendapat masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh sekolah agama terlibat juga dapat di atasi dengan pengumuman kenaikan elaun ini.

“Kepadatan penduduk Islam di sesetengah tempat di Selangor ini sehinggakan di sekolah-sekolah Kafa ini penuh sebab rata-rata masyarakat Islam menghantar anak mereka di sini.

“Jadi kekurangan guru ini adalah salah satu dari masalahnya, tetapi bila mana kerajaan berikan tambahan imbuhan, berikan semangat kepada guru-guru ini untuk kebaikan ilmu dan kemudian kekurangan guru dapat diatasi dan paling penting ia satu suntikan kepada para guru melaksanakan jalan yang penting ini,” ujar Ahmad lagi.

Pada Mei lalu, guru-guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang bertugas di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di seluruh Selangor menikmati kenaikan sebanyak RM300, menjadikan jumlah keseluruhan pendapatan mereka sebanyak RM1,300 sebulan.

Selain kenaikan elaun itu, guru-guru terlibat turut menerima tunggakan bayaran kenaikan yang dikira bermula pada Januari tahun yang sama.

Kenaikan tersebut merupakan kenaikan kali kedua sejak Pakatan Rakyat menerajui pentadbiran negeri.

Keputusan tersebut juga membayangkan pendirian Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang sentiasa mengutamakan pembangunan kerohanian tanpa dipengaruhi mana-mana pihak asing.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim