SHAH ALAM 18 SEPT : Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan membina sebuah bangunan perniagaan yang selesa dan selamat untuk kemudahan peniaga di sekitar Pantai Remis, Jeram sebelum Disember depan.
Tindakan itu dibuat ekoran kawasan itu sering dilanda ribut beberapa kali dalam tahun ini.
Ahli MDKS Zon 5B, Ahmad Alang berkata kawasan perniagaan itu dikenal pasti sebagai lokasi kritikal kerana ia menjadi laluan angin.
“Disebabkan itu, ia menyebabkan hakisan pantai semakin teruk. Tetapi untuk projek tebatan pihak majlis belum memutuskan buat masa ini.
“Manakala pelan perancangan penyusunan semula masih belum diputuskan dan ia masih dalam semakan ahli majlis,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pembinaan bangunan baru itu masih diperingkat awal perbincangan mesyuarat majlis dan dijangka akan diluluskan sebelum Disember depan.
Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kira-kira 30 pengusaha gerai menjual aksesori dan makanan kerugian hampir RM30,000 akibat gerai mereka rosak dipukul ribut selama 20 minit.
Mengulas mengenai bantuan kerugian yang akan disalurkan kepada peniaga terjejas, Ahmad berkata, pihaknya akan menyemak sama ada tapak perniagaan yang terjejas itu terletak di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Jika ia di bawah seliaan kami, bantuan akan disediakan. Bagaimanapun, bagi premis lain kami tidak akan bertanggungjawab kerana kanopi yang didirikan sememangnya tidak kukuh dan stabil,” katanya.




