Guru Ditahan ISA Terima Notis Berhenti Kerja

KUALA LUMPUR 14 SEPT: Nasib guru yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) bertambah buruk apabila menerima notis diberhentikan kerja dari Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Bakar Baba berasal dari Sabah ditahan setelah dikaitkan dengan aktiviti pergerakan Darul Islam.

Perkara ini dimaklumkan ahli pertubuhan Lawyers for Liberty, Farida Mohammad dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, di sini semalam.

“Surat rayuan telah pun dihantar, tetapi keluarga beliau mendapati gaji beliau sudah tidak dimasukkan sejak bulan Jun lalu menyebabkan keluarganya kehilangan mata pencarian.

“Kami akan ikuti perkembangan kes pembuangan kerja ini dengan dekat untuk bantu beliau dan keluarganya,” katanya.

Dalam masa yang sama Lawyers for Liberty melahirkan kebimbangan terhadap nasib empat orang tahanan ISA yang sepatutnya bertemu peguam yang dihantar oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu.

Menurut Farida empat tahanan tersebut sebelum ini tidak pernah gagal untuk mengambil peluang bertemu peguam yang membuat lawatan di Kem Tahanan Kamunting itu.

“Setiap kali peguam kami melawat, mereka pasti tidak melepaskan peluang untuk berjumpa kami untuk menceritakan masalah yang dihadapi termasuk berkaitan hal berkaitan keluarga mereka.

“Tetapi baru-baru ini kami dimaklumkan oleh pegawai kem tahanan bahawa empat orang ini tidak mahu jumpa peguam.

“Ini memang agak menghairankan,” kata Farida

Empat tahanan yang dimaksudkan adalah Darto Bandu, Anthony Sackarayas Natkunam, Mustawan Abbab dan Muadz Hakim.

Farida turut memaklumkan seorang tahanan lain, Saami Haamad yang sebelum ini dilaporkan media diseksa dengan teruk masih lagi berada di dalam keadaan trauma kerana menanggung tekanan yang teruk.

Beliau terpaksa mengambil ubat setiap hari kerana tidak boleh tidur akibat tekanan yang ditanggungnya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim