Kutipan Derma RM12,000 Diserah Bagi Bantu Wanita Palestin

SHAH ALAM 12 SEPT : Sejumlah RM12,000 yang dikutip daripada orang ramai didermakan kepada Badan Bukan Kerajaan(NGO) Aqsa Syarif bagi membantu projek Pembangunan Pusat Komuniti Wanita di Palestin.

Derma itu disumbangkan oleh orang ramai semasa Program Pemberdayaan Wanita Selangor pada bulan Ramadan lepas yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Aqsa Sharif berkenaan usaha membantu rakyat Palestin khususnya wanita.

Kutipan derma itu diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail kepada Pengarah Operasi Aqsa Syarif, Sharifah Mahiza Abd Kadir di Pejabat Exco Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

“Saya yakin walaupun jumlah RM12,000 ini adalah kecil, namun harapannya agar wanita di Selangor dapat melonjakkan aktivisme dalam membantu rakyat Palestin di sana dengan semoga semangat untuk sumbangan ini berterusan,” kata Rodziah.

Jelas Rodziah, lebih 70 peratus penduduk Palestin tinggal sebagai pelarian, justeru, beliau mengharapkan lebih banyak NGO dan orang ramai tampil bagi terus menyampaikan sumbangan kewangan.

Ujar Rodziah lagi, Kerajaan Selangor akan terus memperkukuhkan hubungan kerjasama ini bagi membantu wanita di Palestin memperbaiki kehidupan.

“Kita akan terus mensinergikan kerjasama dengan semua NGO dengan membuka ruang kepada NGO bukan Islam, diharap ia akan disambut dalam usaha perjuangan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Mahiza berkata dana ini akan digunakan sebaik mungkin dalam menampung sebarang kekurangan kepada pembangunan projek pusat komuniti wanita itu di Palestin.

“Pusat Komuniti ini adalah untuk memperkasakan wanita Palestin bagi mengatasi masalah kewangan dengan menyediakan peluang pekerjaan.

“Projek pertama di sana hampir siap dan pusat komuniti akan beroperasi sedikit masa lagi dan kita sedang merancang untuk pusat komuniti kedua di Gaza,” ujarnya.

Projek ‘Rose to Rose’ merupakan salah satu projek Aqsa Sharif dengan beberapa NGO Wanita Islam di Gaza yang memberi peluang kepada wanita Palestin untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Objektif projek pusat komuniti wanita Palestin antaranya adalah membina jatidiri, melatih kemahiran hidup, kesihatan, pusat kaunseling, fiqh wanita dan mewujudkan kerja khusus untuk wanita.

Projek ini menyokong wanita Palestin yang kebanyakkannya mengalami banyak masalah hidup dan krisis berterusan termasuk kemiskinan dan kelaparan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Ibu Pejabat Aqsa Sharif di talian 03-8733 4636 atau layari :http://aqsasyarif.org.my atau https://wwwfacebook.com/aqsa.syarif.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut