Sultan Johor Murka, Kementerian Pertahanan Hilang Wibawa

SHAH ALAM 12 SEPT : Kementerian Pertahanan semakin hilang wibawa berikutan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail menggenai bekalan kelengkapan tidak bermutu kepada pasukan elit Kor Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata teguran Sultan Johor itu adalah serius dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak harus lepas tangan dan mesti bertanggungjawab sepenuhnya.

“Apa dah jadi dengan Kementerian Pertahanan di negara ini? Sepatutnya ia menjadi sebuah kementerian yang berwibawa kerana di bawahnya menentukan keselamatan negara.

“Kemurkaan Sultan Johor dikatakan kerana harganya mahal tetapi kelengkapan dibekalkan tidak bermutu. Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang dianugerahkan Sultan Johor berharga RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual pihak pembekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris berkata, pembangkang selama ini kerap membuat teguran tetapi sering dibakulsampahkan.

Tambahnya, tabiat buruk kerajaan diterajui Umno-BN itu bukan perkara baru malah sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran negara.

“Jika kita imbas kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana kementerian ini boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta walaupun tanpa baucer. Ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu membuat tuntutan perjalanan RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku itu memang pelik tetapi ada benarnya.

Sebelum ini, negara pernah kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Jika enjin sebesar itu boleh hilang dijual ke luar negara maka sudah tentu wang yang lebih kecil lebih senang hilang,” ujarnya.

Media baru-baru ini melaporkan kemurkaan Sultan Johor atas apa yang berlaku dan bertitah Kementerian Pertahanan harus memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya.

“Dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden, suka saya ingatkan jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Tidak dinafikan ramai bekas Jeneral dan pegawai tentera yang bersara menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal peralatan ketenteraan.

“Namun suka saya ingatkan, janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga berlipat kali ganda,” titahnya.

Baginda yang juga Kolonel Komandan pasukan elit Rejimen Gerak Khas bertitah demikian semasa majlis ulang tahun ke-47 pasukan itu di Kem Iskandar, Mersing, Johor.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib