Tandus Pemimpin Wibawa, Umno Retak Menanti Belah

SHAH ALAM 12 SEPT : Umno kini umpama ‘retak menanti belah’ apabila banyak masalah melanda parti Melayu itu akibat ketandusan kepimpinan dan banyak kepincangan berlaku.

Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata kegagalan pemimpin Umno menerajui parti itu dengan baik menyebabkan banyak masalah berlaku sehinggakan banyak konflik dalam dan krisis serius melanda.

“Ramai kelompok professional hendak masuk Umno tetapi mereka ini dinafikan hak seawal peringkat cawangan lagi. Kesannya Umno tidak memiliki pemimpin berwibawa dan professional.

Oleh itu, Umno dulu, kini dan selamanya adalah parti bermasalah”, ujar Dr Yaakob yang juga Exco Kerajaan Selangor dalam kenyataan medianya.

Tambahnya, seorang pemimpin perlu memiliki ilmu untuk memimpin masyarakat. Pemimpin yang berilmu memberi kesan yang besar kepada iklim dan suasana bagi mencorakkan masyarakat.

“Malah, budaya cantas-mencantas juga berlaku cukup ketara sehingga membuatkan Umno tersepit dan semakin keliru dalam memilih calon yang benar-benar layak.

“Calon-calon di peringkat bahagian tidak berwibawa kerana di peringkat cawangan lagi kelompok professional ditolak mentah-mentah.

“Kini, calon yang diketengahkan oleh Pusat pula ditolak bulat-bulat oleh akar umbi mereka”, kata Dr Yaakob.

Kini, kelompok muda dalam Umno dilihat tidak ramai yang mempunyai idealisme serta semangat juang yang tinggi.

“Mereka tidak lain hanya pandai mengampu pemimpin dan tidak kurang juga ada yang bersikap biadap dan gangster,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut