MPK Banteras Papan Iklan Premis Warga Asing Langgar Peraturan

KLANG 11 SEPT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan operasi menanggal dan menurunkan papan iklan di premis perniagaan yang dikhususkan untuk warga asing yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Dalam operasi bermula awal pagi itu, sebanyak 26 premis perniagaan dikesan melakukan kesalahan berkaitan papan iklan dengan lebih mengutamakan bahasa ibunda mereka seperti Bahasa Myanmar, Nepal, Vietnam, Bangladesh dan sebagainya.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan supaya masalah seperti itu dapat dikawal daripada berleluasa.

Menurutnya, kebanyakan premis perniagaan ini dimiliki pemastautin tetap negara ini dan memiliki lesen perniagaan yang sah.

Beliau berkata, kewujudan premis perniagaan untuk warga asing memang banyak di Klang kerana kebanjiran golongan tersebut yang ramai berikutan peluang pekerjaan yang besar.

“Berdasarkan peraturan, pengusaha premis perniagaan perlu membuat papan iklan dengan menggunakan Bahasa Melayu dengan bahan dan saiznya yang lebih besar iaitu melebih 30 peratus berbanding bahasa lain.

“Malangnya perkara ini tidak berlaku dan kebanyakan premis perniagaan ini lebih mementingkan bahasa ibunda mereka manakala kita menghadapi masalah kerana tidak memahaminya. Ada antara premis ini yang beroperasi tidak mengikut lesen perniagaan seperti pasar mini bertukar menjadi kedai serbaneka,” katanya kepada media di sini hari ini.

Operasi hari ini ditumpukan di sekitar Jalan Raja Hasan, Jalan Pos Baru dan Lorong Kepayang

Operasi ini melibatkan lebih 50 anggota dari Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perlesenan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK.

Selain pasar mini, premis perniagaan lain dikesan terlibat dengan kesalahan adalah restoran, kedai pakaian, kedai cakera padat digital, kedai barangan keperluan harian dan yang lain.

Malah ada premis yang tidak menggunakan papan iklan sebaliknya sekadar memaparkan nama syarikat dengan cat di dinding bangunan.

Ehsan berkata, semua pemilik premis perniagaan tersebut akan dipanggil MPK untuk tujuan peringatan selain pembatalan berhubung kesalahan yang berlaku hari ini.

“Kita juga akan merujuk perkara ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka supaya masalah penggunaan bahasa asing ini dapat diatasi,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Hafizan Taib