ANAK Jangka Perubahan Besar Undi Peneroka Dalam PRU-13

KUALA LUMPUR 31 OGOS : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menjangkakan terdapat perubahan besar dalam undi peneroka Felda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusinya, Mazlan Aliman optimis dengan siri pendedahan pelbagai pihak berhubung kepincangan Felda berjaya membuka mata warga peneroka terutama generasi kedua Felda.

“Daripada 1.6 juta warga peneroka, 60 peratus daripadanya ialah generasi kedua dan ketiga dan mereka inilah penentu pilihan raya akan datang.

“Kita melihat generasi baru ini lebih relevan dalam membuat penilaian dan mereka sedar pengurusan Felda ini dicengkam pemimpin rakus dan tamak haloba yang menelan kekayaan yang seharusnya menjadi hak warga peneroka,” ujar Mazlan dalam satu temubual ekslusif bersama TV Selangor.

Tambahnya, anak-anak peneroka Felda kini lebih berpendidikan dan bijak menilai bentuk permainan kerajaan pemerintah yang menindas warga peneroka.

“Mereka dapat lihat bagaimana kerajaan sedia ada cuba mewujudkan satu bentuk transformasi yang memindahkan kepentingan peneroka kepada satu konsep dan dasar yang berbeza dengan matlamat awal penubuhan Felda dahulu.

“Sesungguhnya kita semua tidak menolak transformasi namun biarlah ia berbentuk penambahbaikan bukan sesuatu yang sekadar menguntungkan kroni dan menindas peneroka,” kata beliau.

Pendapat Anda

Pendapat

About Lizawati Madfa