Anwar: Nikmat Kemerdekaan Sebenar Adalah Khazanah Negeri Dikembalikan Kepada Rakyat

SHAH ALAM, 31 OGOS: Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menekankan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) dalam pentadbirannya di negeri ini.

“Khazanah Selangor mesti dipulangkan kepada rakyat negeri ini dan inilah nikmat kemerdekaan,” katanya pada Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 dan Sambutan Hari Malaysia peringkat Selangor 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.

Anwar berkata, semangat kemerdekaan itu tidak hanya berhenti dengan pesta dan harus mampu memupuk rasa kecintaan kepada negara dan tanggungjawab yang dipikul oleh negara ini.

“Sebab itu saya ingin juga menyatakan bahawa kemerdekaan itu tidak mungkin tercapai sekiranya semangat ibu-bapa kita itu malap, mengalah dan hilang keyakinan dan jati diri demi melawan penjajah,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Malaysia.

Katanya, kemerdekaan menjadikan kebangkitan kepada rakyat dan bukan hanya kepada segelintir pemimpin dan kepedulian siapa sahaja yang mendapat amanah untuk memimpin negara ini.

“Mandat pemerintahan yang diberikan akan dinilai oleh rakyat hanya setelah terbukti dapat memberikan khidmat dan mengembalikannya sebaiknya kepada rakyat,” katanya.

Sambutan kemerdekaan yang bertemakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa : Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju” itu dihadiri barisan Exco selangor bersama lebih 10,000 rakyat.

Turut memeriahkan sambutan dengan acara perbarisan dan perarakan antaranya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba, Pejabat Daerah dan Tanah Selangor, jabatan Kastam Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan lain-lain.

Selain itu, turut mengambil tempat adalah persembahan kesenian dari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan persembahan pancaragam dari sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan supaya sentiasa menghargai jasa pemimpin-pemimpin terdahulu dan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang berusaha memerdekan negara ini dari tangan penjajah.

“Kita jangan lupa perjuangan Tunku Abdul Rahman dan tokoh Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan pejuang dari pelbagai kaum Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan yang berusaha memerdekakan negara tercinta ini dari penjajahan,” katanya lagi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini