TNB Perlu Selesai Segera Projek CAR, Bukan Ulang Kenyataan Krisis Elektrik


SHAH ALAM, 16 OGOS : Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta segera memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan masalah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang yang tberlarutan lebih tiga tahun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata sebelum ini Pegawai Tertinggi TNB menyatakan Selangor bakal menghadapi krisis elektrik merupakan ‘laungan ulangan’ yang dibuat sejak tahun 2007 sehingga kini.

“Kenyataan tenaga (TNB) ini serupa juga kenyataan pada 2007, 2008 dan 2009. Ini serupa. Jawapan kita, lebih cepat kita selesaikan lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco.

Kerajaan Negeri mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif bagi Projek CAR yang tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Tiga laluan alternatif yang dikemukakan adalah Rawang Perdana dengan kos RM11.09 juta, jalan besar Rawang dengan kos RM17.50 juta dan laluan bawah tanah mengikut pelan asal yang dikemukakan TNB dengan kos RM226.25 juta.

Cadangan Projek CAR ini bermula pada tahun 2004 dan melibatkan pembinaan menara arus 275 KV transmisi menerusi kawasan Kampung Sungai Terentang.

Bagaimanapun projek itu mendapat bantahan keras penduduk setempat kerana sebelum ini satu menara pencawang tersebut tumbang pada tahun 2007 di Kampung Lee Kim Sai yang terletak di Rawang.

Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid mengarahkan projek ini dihentikan atas pertimbangan keselamatan penduduk.

Sebelum ini, Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad, Datuk Rozimi Remeli berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan tenaga elektrik jika projek CAR terus tergendala.

Jelas Abdul Khalid, pelan penempatan semula menara pencawang TNB ini perlu disemak semula dan menggunakan kaedah yang lebih baik seperti kaedah aliran tenaga bawah tanah.

“Satu perkara yang jelas, perancangan tenaga ini untuk menyediakan aliran-aliran tenaga melalui pencawang-pencawang dibuat pada tahun 70an dan 80an.

“Jadi oleh sebab itu saya berpendapat, kita semak semula penempatan tersebut terutama di Lembah Klang kerana kawasan tersebut tidak sesuai kerana mempunyai penempatan penduduk yang ramai,” katanya.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afix Redzuan