MPK Efektif Dalam Pembersihan Sungai Klang

KLANG, 31 JUL : Majlis Perbandaran Klang (MPK) berharap supaya permohonan bajet sejumlah RM500,000 yang dipohon kepada Kerajaan Negeri untuk membersihkan Sungai Klang dapat diluluskan segera.

Pemangku Yang Di Pertuanya, Ehsan Mukri berkata, ia bagi menangani keadaan sungai itu yang semakin kritikal dengan anggaran longgokan sampah melebihi 500 tan.

Ekoran insiden itu katanya, ia menjejaskan kualiti air sungai yang pernah menjadi jalan penghubung suatu ketika dulu.

“Kita sudah menghantar permohonan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini dan akan dirujuk kepada Pegawai Kewangan Negeri untuk menentukan sama ada bajet itu boleh diluluskan atau tidak.

“Sekiranya bajet itu diluluskan, kita akan membeli lebih banyak sampan (bot) untuk membolehkan kesemua sampah itu dikutip dan Sungai Klang dibersihkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak sepuluh bot dari persatuan nelayan sekitar kawasan ini telah menyertai gerak kerja pembersihan dengan mensasarkan kutipan satu tan sampah sehari bagi sebuah bot.

Menurut Ehsan, pasukan nelayan yang lebih dikenali sebagai “River Rangers” itu diyakini mampu  membersihkan kotoran dengan kadar efektif, sekaligus menjadikan Sungai Klang lebih menarik berbandingsebelum ini.

Jelasnya, selain pembersihan, program itu secara tidak langsung dapat menjana pendapatan tambahan bagi para nelayan melalui bayaran yang diterima hasil kutipan sampah.

“Usaha yang kita adakan ini adalah dasar keprihatinan majlis walaupun ia bukanlah bidang atau tanggungjawab MPK untuk membersihkan Sungai Klang yang agak teruk tercemar sejak kebelakangan ini.

“Usaha itu tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama daripada penduduk setempat termasuk agensi yang terlibat,” katanya lagi.

Terdahulu, MPK telah mengadakan lawatan khas pembersihan Sungai Klang yang turut disertai Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Lawatan itu adalah untuk meninjau keadaan Sungai Klang secara keseluruhannya selain mengenal pasti kaedah terbaik bagi mengurangkan masalah sampah di situ.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera