MPK Tubuh Jawatankuasa Bertindak Tangani Isu Kebakaran Johan Setia

KLANG, 31 JUL : Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menubuhkan jawatankuasa bertindak berkuatkuasa minggu hadapan untuk menyelesaikan masalah kebakaran yang sering berlaku di kawasan Johan Setia, dekat sini.

Pemangku Yang Dipertuanya, Ehsan Mukri berkata, jawatankuasa itu akan membincangkan secara terperinci langkah-langkah mencegah kebakaran di situ, sekaligus mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan melibatkan pelbagai agensi berkepentingan antaranya, pihak bomba, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Ahli Majlis, badan bukan kerajaan (NGO), JKKK Kampung serta penduduk setempat.

“Sewajarnya Kerajaan perlu mewujudkan satu “task force” (jawatankuasa) yang besar supaya masalah ini dapat ditangani dengan lebih efisyen. Tetapi MPK mengambil inisiatif untuk menubuhkan dahulu badan bertindak ini sebagai langkah awal terhadap isu berkenaan.

“Kita tidak mahu apabila masalah itu menjadi serius, baru kita ambil langkah untuk mengatasinya. Kalau boleh kita cegah terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, insiden kebakaran paling serius pernah dilaporkan berlaku antara bulan Mei dan Jun tahun ini dengan melibatkan kira-kira 20 ekar tanah.

Jelasnya kebakaran itu tidak hanya berlaku di Klang sebaliknya turut membabitkan daerah lain seperti Kuala Langat sehingga mengakibatkan jerebu teruk.

“Masalah yang kita hadapi ialah kita kekurangan atau tiada langsung bekalan air untuk memadamkan kebakaran di situ. Jadi, apa yang mampu kami lakukan adalah memukul api dengan menggunakan penyapu rotan.

“Menyedari hakikat itu, kita telah meminta pegawai untuk menyediakan peralatan sempurna kepada pekerja bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesihatan. Kita akan cuba cari input untuk menambah baik keadaan sekarang,” ujarnya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa insiden kebakaran yang berlaku di kawasan itu adalah berpunca daripada unsur sabotaj.

Sehubungan itu, katanya, pihak Majlis akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di situ bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera