PKR Umum Plan Pengurusan AP Lebih Cekap, Ganti Duti Eksais

PETALING JAYA, 31 JULAI: PKR hari ini  mengumumkan plan memperkemaskan pengurusan permit import (AP) dengan kaedah bidaan terbuka agar dapat menggantikan kehilangan pendapatan kerajaan menerusi cukai eksais.

Dengan ada plan ini ia menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap pemansuhan cukai eksais akan mengurangkan hasil negara sekaligus menjejaskan ekonomi.

Sebaliknya langkah tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan harga kereta di pasaran, malah akan merancakkan ekonomi negara apabila penurunan itu akan memberikan lebih kuasa berbelanja kepada masyarakat negara ini.

“Jumlah RM8 bilion cukai eksais yang dimansuhkan ini akan beri kelebihan untuk dibelanjakan rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Kesan berganda kepada ekonomi negara jika jumlah RM8 bilion ini  dipulangkan kepada rakyat adalah lebih tinggi berbanding jika ia berada di dalam poket kerajaan.

“Penjualan AP pula akan dibuka kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api demi menggalakan lebih banyak kereta jimat bahan api diperkenalkan,” kata Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli hari ini.

Menurut beliau cadangan tersebut mengemukakan RM10,000 sebagai harga permulaan bidaan bagi kategori kenderaan jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi.

Menurut Rafizi lagi dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR itu, PKR percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila AP dibuka untuk bidaan.

“Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut menafikan bahawa bidaan terbuka yang diperkenalkan itu akan menyebabkan harga kereta tidak dapat dikurangkan dari penurunan cukai eksais.

“Walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapuskan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun,” kata beliau lagi.

Selain itu, berdasarkan statistik 2011, hanya sejumlah 66,608 AP dikeluarkan berbanding sebanyak 533,515 unit kenderaan yang dikeluarkan atau dipasang di dalam negara ini yang tidak dikenakan sebarang cukai.

Plan memperkemaskan pengurusan AP itu juga mampu menghapuskan dominasi dua tiga kerat ahli korporat rakan Umno dalam memperolehi AP.

“Sistem AP yang ada bukan sahaja menyebabkan harga kereta lebih tinggi tetapi juga hanya menguntungkan beberapa pihak yang rapat dengan Umno-BN sahaja,” ujar Rafizi lagi.

Pendapat Anda

Pendapat

About Nazli Ibrahim