Zunar Pelik Dengan Keputusan Mahkamah Penangkapnya

SHAH ALAM, 31 JULAI : Kartunis politik, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai “Zunar” tidak puas hati dengan keputusan mahkamah yang mengisyitharkan tangkapannya oleh polis dua tahun lalu dibuat mengikut undang-undang.

Zukiflee menyifatkan keputusan itu “sebagai pelik” memandangkan mahkamah memutuskan rampasan buku karya seni beliau tidak sepatutnya dibuat.

“Saya kecewa dengan keputusan ini kerana matlamat utama saya mengemukakan saman ini adalah untuk meminta kepada mahkamah supaya mengisytiharkan penahanan saya ini tidak sah.

“Penghakiman begini sangat pelik kerana dua subjek ini berkait. Saya sebagai pelukis dan saya menghasilkan buku saya sendiri.

“Ada yang tidak kena sekiranya merampas buku itu satu kesalahan tetapi menahan saya tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang,” katanya dalam reaksinya kepada TVSelangor.

Katanya berdasarkan hujah penghakiman, bukunya tidak mengandungi unsur yang melanggar undang-undang dan polis sepatunya menahan beliau berdasarkan bukti yang lain. Namun sehingga hari ini bukti tersebut masih tidak diumumkan oleh polis.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Vazeer Alam Mydin Meera mengarahkan supaya karya kartunis itu dipulangkan semula selain meminta pendaftar mahkamah untuk menentukan kuantum ganti rugi kepada Zulkiflee. Namun, tiada arahan dibuat untuk membayar kos.

Zunar juga meminta semua buku yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini dikembalikan semula termasuk buku 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun, dan Isu Dalam Kartun Vol I,II,III

Selain itu, beliau meminta semua bentuk tekanan terhadap kilang pencetakkan dan peniaga buku karya kartunnya yang dikenakan sebelum ini dihentikan serta merta.

“Saya nak menggesa kerajaan supaya memulangkan semua buku-buku saya yang dirampas sebelum ini. Dijangka hampir 1,000 naskah buku saya berada dalam simpanan polis dan KDN.

“Termasuk Gedung Kartun yang dirampas di pejabat saya pada tahun 2009. Ada 408 naskah dalam simpanan KDN dan buku-buku lain yang di rampas di kedai-kedai,” katanya.

Zunar ditahan pada 24 September 2010 selepas satu serbuan di pejabatnya di Brickfields, Kuala Lumpur, beberapa jam sebelum beliau dijadualkan untuk melancarkan buku barunya Cartoon-o-phobia.

Pendapat Anda

Pendapat

About Afix Redzuan