Kerajaan Selangor Merakamkan Takziah Atas Kemangkatan YAM Tengku Putri Aishah

SHAH ALAM 31 JUL : Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan adinda bongsu DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu YAM Tengku Putri Aishah Binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Salam takziah dirakamkan ke atas baginda Sultan serta seluruh kerabat Diraja Selangor dalam satu kenyataan media oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kerajaan Negeri turut merasa sedih atas kehilangan ini dan menyeru seluruh rakyat Selangor memanjatkan doa agar roh Allahyarham di tempatkan bersama-sama mereka yang beriman.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga Allah mengampuni segala dosa dan menerima semua amalan baiknya serta merahmatinya di alam barzakh. Al-Fatihah,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

Jenazah YAM Tengku Puteri Aishah, 56, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, jam 12 tengahari semalam setelah disembahyangkan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Tengku Putri Aishah menghembuskan nafas terakhir di sisi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama anggota keluarga yang lain pada 30 Julai.

Pendapat Anda

Pendapat

About TVSelangor