MB : Selangor Kaji Budaya Membaca Yang Lemah

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan peruntukkan di bawah Geran SelangorKU untuk membuat kajian mengenai budaya membaca yang masih rendah di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peratusan rakyat Selangor – negeri yang paling maju – yang membeli buku masih rendah dan masalah ini perlu dikenalpasti dan diselesaikan.

“Peratusan yang rendah ini perlu dikaji, adakah rakyat tidak suka membaca? Atau kurangnya kedai yang menjual buku-buku bermanfaat kepada rakyat?” katanya ketika ucapan perasmian Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Turut hadir, Exco-exco Selangor, Dr. Halimah Ali dan Dr. Yaakob Sapari, ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Muhamad.

Dalam majlis yang sama, Abdul Khalid turut mengambil bahagian dalam ’15minutes Reading Break’ bersama-sama hadirin.

Pesta Buku Selangor kali ke-7 berlangsung selama 11 hari mulai 29 Jun sehingga 9 Julai bermula pukul 10 pagi sehingga 9 malam di SACC.

Pada tahun ini, seramai 163 unit gerai buku dengan 79 pempamer mengambil bahagian termasuk Karangkraf, Al-Hidayah, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Sasbadi dan E-Media.

Pesta ini turut mendapat kerjasama dari jabatan-jabatan kerajaan dan sektor swasta seperti Jabatan Pelajaran Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Kumpulan Media Karangkraf, TVSelangor, dan Persatuan Seniman Paksi Rakyat.

Pada majlis itu, bekas wartawan tersohor Utusan Melayu Said Zahari dinobatkan sebagai tokoh Penulis Selangor 2012.

Manakala Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaakob dianugerahkan Tokoh Pustakawan Selangor 2012.

Said dan Raja Abdullah masing-masing menerima cek bernilai RM10,000 seorang.

Bertemakan ‘Baca dan Amalkan’, pesta buku ini merupakan suatu kesempatan terbaik kepada seluruh masyarakat untuk membawa ahli keluarga bagi mendapatkan bahan bacaan terkini.

Pendapat Anda

Pendapat

About Siraj Mohd Zaini