MB : Minta Henti Spekulasi Ubah Status Tanah Padang PKNS

SHAH ALAM 30 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak untuk menghentikan spekulasi berhubung dakwaan yang mengaitkannya sebagai individu bertanggungjawab mengarahkan pertukaran status zon tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) daripada kawasan lapang dan rekreasi kepada komersial.

Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) serta Lembaga Rayuan Selangor untuk membuat keputusan.

“Perkara ini tidak perlu dipanjangkan. Jadi biarlah ia dibincangkan oleh Jawatankuasa Selcat untuk menentukan keputusan. Saya tidak dapat beri apa-apa komen sehingga perbincangan Selcat itu selesai,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2011 di De Palma Inn, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan, seorang saksi wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendakwa inisiatif ubah status tanah padang PKNS di Kelana Jaya dipengaruhi oleh Abdul Khalid.

Dakwaan MBPJ itu kemudiannya disangkal pegawai Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) yang kemudiannya menimbulkan kekecohan apabila kedua-duanya saling menuding jari dan mempertaruhkan pasukan masing-masing.

Selcat bagaimanapun ditangguh 5 Julai depan untuk mendapatkan maklumat lengkap mesyuarat berkaitan pindaan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2).

Pendapat Anda

Pendapat

About Afeeqa Afeera