Disiasat Bank Negara PKR Minta Awang Adek Beri Penjelasan

SHAH ALAM 30 JUN : PKR menuntut penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek Hussin berhubung dakwaan wujudnya penyiasatan terhadap salahlaku semasa beliau menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR meragui hubungan Awang Adek dengan seorang ahli perniagaan, Chung Hon Cheong yang menjadi pemilik serta pengarah kepada syarikat Sun Prestige Sdn Bhd dan syarikat Vertex United Sdn Bhd, berikutan beberapa transaksi kewangan yang membabitkan mereka berdua.

“Keraguan juga timbul berikutan terdapat fakta yang membuktikan beliau mempunyai hubungan dengan Sun Prestige Sdn Bhd, yang memperolehi kontrak mencetak nota RM2.00 sebanyak 100 juta keping dari BNM,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Menurut Saifuddin beliau meminta Awang Adek memberikan penjelasan berhubung tindakan beliau pada 1999 yang menjual rumahnya di Damansara kepada Vertex United Sdn Bhd pada harga RM550,000.00.

Turut dipersoalkan ialah tindakan Chung Hon Cheong menerusi Ultimate Holidays Sdn Bhd membuat pembayaran penerbangan Awang Adek ke Tokyo untuk trip penerbangan 28 Jun 1999 hingga 1 Julai 1999.

Dan kebenaran isteri Awang Adek membeli Honda Civic 1.6 menerusi Chung Hon Cheong dan benarkah beliau yang membayar ansuran bulanan sebanyak RM2122.00 sebulan,

“Ada banyak lagi maklumat mengenai pelbagai pembayaran insuran hartanah, pembayaran road tax, pembelian kereta, bayaran pengaturan permainan golf, pembayaran bil telefon yang membabitkan Awang Adek dengan Chung Hon Cheong.

“Kes-kes ini seolah-olah menunjukkan, wujudnya hubungan rapat bekas Penolong Gabenor BNM dengan syarikat yang memperolehi kontrak jutaan RM dari BNM,” kata Saifuddin.

Sehubungan itu, tegas Saifuddin pihaknya memberikan tempoh tiga minggu untuk Awang Adek menjelaskan segala dakwaan yang disenaraikan terhadap beliau.

Saifuddin juga mencabar Awang Adek untuk menafikan beliau mempunyai hubungan erat dengan individu dan syarikat terbabit.

“PKR akan mengemukakan langkah susulan dan mengemukakan bukti-bukti tambahan selepas penjelasan Awang Adek dibuat.

“Awang Adek tidak seharusnya hanya berani mencabar Kelantan dalam isu Dinar, jawab dahulu cabaran kami,” kata Saifuddin.

Pendapat Anda

Pendapat

About Mohd Ezli Mashut